aNggEriK-diHaTikU

Never Say" I love you "if you don't really care, never talk about feeling if they aren't really there. Never hold my hand if you're going to break my heart. Never say you're to, if you never plan to start. Never look into my eyes if all you do is lie. Never say hello, if you really mean goodbye. If you really mean forever, then say you will try. Never say forever ' cause forever makes me cry. Don't let someone become your everything, because when they're gone you have nothing!

Puasa enam’ pada bulan Syawal

Pastinya Ramadan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketakwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para salihin pada bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa pada bulan Ramadan.

Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan pada bulan ini ialah ‘puasa enam’. Bagi mereka yang biasa berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh hal yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.

Cara mengerjakan puasa enam

Puasa yang biasa disebut sebagai puasa enam ialah puasa yang sunat dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai cara mengerjakan puasa enam ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:

1. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua dan seterusnya.

2. Sebahagian ulama mutakhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Sama ada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal.

Bagaimanapun mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua, adalah lebih afdal.

Fadilat puasa enam

Fadilat puasa enam telah disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a. yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, (puasanya pada bulan Ramadan dan enam hari pada bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari pada bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardu pada bulan Ramadan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa pada bulan Ramadan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam pada bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Perkara ini diperkuat dengan sebuah hadis riwayat Tsauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Berpuasa sebulan (pada bulan Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (pada bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genaplah setahun.”

(Hadis riwayat ad-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala perti pahala yang didapatinya daripada puasa fardu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadan dan puasa enam sama dengan pahala mengerjakan puasa fardu sebanyak setahun.

Orang-orang yang dituntut mengerjakan puasa enam

Puasa enam pada bulan Syawal sunat dikerjakan bagi orang yang telah berpuasa penuh pada bulan Ramadan. Begitu juga bagi orang yang tidak berpuasa penuh Ramadan atas sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘. Maksud sebab-sebab yang diharuskan oleh syara’ ialah seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir.

Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara’ haram melakukan puasa enam, melainkan setelah dia selesai mengqada puasa Ramadan, kerana puasa Ramadan yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqada dengan segera.

Puasa sunat dan jemputan makan

Sesetengah individu merasakan, untuk mengqada puasa Ramadan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam pada bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Sebabnya, seperti yang kita semua maklumi, pada musim hari raya aidilfitri, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu ‘open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan pada hari raya. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah undangan ‘open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.

Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ibnu Umar r.a. misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga hal sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi.

Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah.”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:

Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu berasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini dibolehkan, bahkan afdal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.

Adapun dalil yang mensabitkan perkara ini adalah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan. Sabda baginda:

“Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya, "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum. Akan tetapi hukumnya berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardu, misalnya puasa qada Ramadan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Peluang untuk mengerjakan puasa enam hanya diperoleh sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Oleh hal yang demikian, usahakanlah agar ia tidak terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk pelaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam ini. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa.

0 comments: